Wednesday, 26 May 2010

Ummu Ammar 3

Sambungan entri Ummu Ammar 2


Saya mula memahami bahawa ajaran Agama Islam berdiri di atas kekuatan hujjah/dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih. Keaslian sumber inilah yang membezakan di antara agama kita dengan agama yang lain.

Saya mula mempelajari Kitab Aqidah Wasatiyyah karangan Ibn Taimiyyah yang diajarkan oleh Syeikh Aiman. Menadah kitab Sifat Solat Nabi bersama Ustaz Arif, Kitab Subulussalam di bawah syarahan Ustaz Habib, dan Sirah Nabi Muhammad melalui Kitab Raheequl Makhtum.

Disamping itu juga, saya menghadiri seminar-seminar anjuran An-Nida', Al-Khaadem dan lain-lain.

Seminar-seminar ini membantu saya untuk menganalisa beberapa perkara terutamanya berhubungan Ketetapan Aqidah dan Keluasan Fiqh.

Ketika itu, saya cuba untuk beramal dengan apa yang saya pelajari, bermula dengan cara solat. Saya mula merasakan yakin dengan dengan setiap pergerakkan di dalam solat. Kadang-kadang, berlaku tanda tanya daripada sahabat-sahabat tentang 'peliknya' cara solat saya, terutamanya dalam gerakan jari, turun tangan dahulu kemudian lutut dan sebagainya. Ketika itu, saya hanya memberikan buku yang boleh dirujuk kerana ia memudahkan dan saya fikir ia adalah sebaik jawapan pada ketika itu.


Nama Ummu A'mmar Di beri


Suatu hari, saya bersama sahabat-sahabat mengunjungi Ummu Huzaifah, isteri kepada Sheikh Aiman. Kami dijamu dengan pelbagai juadah masakan sheikh sendiri. Selepas menyampaikan tazkirah ringkas, sheikh bertanya kepada kami semua, sesiapa yang belum mempunyai 'kunniyah' bermaksud nama timangan. Nama timangan seperti Abu Abdullah (Bapa Abdullah) , Ummu Anas (Ibu Anas). Nama timangan ini adalah sunnah kerana ia dilakukan oleh Nabi Muhammad untuk memanggil sahabatnya yang lain. Nama timangan Nabi adalah Abu Qaasim.

Maka, saya bercakap belum. Dan, sheikh memberikan beberapa senarai nama untuk saya pilih. Pada mulanya saya memilih 'Ummu Sarah', kemudian sheikh berkata :-

" Lak ! anti Ummu A'mmar "

Saya tersenyum, dan suka juga dengan nama itu. Alhamdulillah, selepas itu, saya menggelarkan diri saya Ummu Ammar, di buku saya tuliskan, ia adalah nama kedua bagi saya selepas nama yang cantik yang diberikan oleh kedua ibubapa saya yang tercinta.


Perbezaan Pandangan


Banyak kuliah ilmu diadakan, yang paling tidak dilupakan adalah kuliah harian bersama Sheikh Abu Laith. Kami talaqqi kitab Fiqh Sunnah karangan Said Thabit dalam Bab Janazah dan Nikah. Huraian kitab ini banyak membantu saya untuk memahami dan menganalisa perbezaan pandangan di antara Imam Mazhab yang empat khususnya.

Hubungan saya dengan sahabat jemaah seperti biasa, alhamdulillah, perbezaan yang ada diraikan dengan adab yang sangat terjaga. Tidak terburu-buru memberikan komen dan pandangan. Bagi saya, perbezaan pandangan di dalam perkara khilaf bukanlah bermaksud kita bermusuhan dan bersekutu. Sebaiknya, ia mestilah diraikan dan dihormati bersama.

Itulah indahnya Islam, perbezaan fikrah, ideologi, dan aliran bukanlah bermaksud kita bermusuhan antara satu sama lain, namun, ia adalah menggambarkan kesyumulan Islam itu sendiri. Selagi masalah pokok tidak diselar.  Sesuatu hukum yang berbeza diantara tempat dan masa bukan bermakna ajaran Agama Islam itu berbeza antara penganutnya, namun, kesesuaian dan masa yang sesuai untuk diamalkan menjadikan ia begitu serasi dengan penganutnya.

Ilmu Allah Begitu Luas


Keinginan untuk menghadiri kuliah ilmu dan menganjurkan kuliah-kuliah ilmu semakin hidup di dalam hati saya, walaupun ia sudah dipelajari ketika di Sekolah Rendah lagi. Tapi, kini saya tidak lagi menerima tetapi cuba untuk menganalisa dan memberi kepada yang lain agar ianya menjadi benih tanaman yang subur agar dapat mengeluarkan buah-buah yang manis dan disukai.


Mengajak Kepada Baik, Menegur Yang Tidak Baik

Tugas ini adalah wajib bagi kita semua, menuntut Ilmu Agama dan menyampaikannya kepada yang lain. Inilah tugas profesional kita sebagai Khalifah. Tugas ini bukan main-main yang boleh dipandangan remeh. Hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan bukan sambil lewa.

Mulakan dengan praktikkan amalan-amalan yang senang dan tidak pelik di peringkat awal, seperti mengucapkan salam ketika berjumpa, mengajak menunaikan solat berjemaah, dan sebagainya.

Tidak perlu tunggu ilmu penuh di kepala baru boleh hendak menyampaikan. Kerana ia tidak akan memberi nilai kepada ilmu yang kita pelajari kerana tidak diamalkan dan yang penting tidak menyampaikan kepada yang lain. Apabila kita sudah mula menyampaikan tentu sekali kita lah orang yang pertama akan mempraktikkan perkara tersebut. Ini adalah suntikan pertama menjadikan kita seorang muslim yang berkualiti dan 'role model' kepada yang lain.

Jangan dilupa pesanan baginda Rasulullah Sallahu Alaihi Wasallam:-


بلغوا عني ولو آية

"Sampaikanlah tentang apa yang aku sampaikan walau cuma satu ayat"



Inilah yang akan memberi saham kita di akhirat nanti. Jangan sehingga ianya dituntut oleh manusia lain ketika saat 'Pertimbangan', kerana lekanya kita dalam menyampaikan Ajaran Rasulullah ketika kita masih hidup.

Masih belum terlambat untuk kita mulakan bersama - sama.. Ayuh ! Fastabiqul Khairaat (Mari sama-sama menyegerakan kebaikan)



26 Mei 2010
Taman Budi dan Ilmu