Friday, 18 September 2009

Persiapan Aidilfitri - Lakukan Perubahan kerana Ramadhan telah merubahmu

Assalamualaikum Warahmatullah

Hanya tinggal 2 hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita, semoga amal ibadah kita sepanjang bulan Rahmat ini diterima, dan mendapat nilai yang baik di sisi Allah.

Ramai tak sabar nak menyambut Aidilfitri, hari kemenangan untuk umat Islam kerana keabdiannya yang tinggi ditunjukkan kepada Allah, kita berpuasa kerana Allah yang suruh, bukan kerana lain.

Nak menyambut Hari Raya, apa yang kita patut buat selain menjamu makan, bermaaf-maafan? Banyak lagi perkara yang diajar oleh Nabi kita sempena menyambut hari kemenangan dan kegembiraan ini.

1. Bertakbir - Kita disunnahkan untuk bertakbir, mengagongkan kekuasaan Allah, bermula selepas Maghrib (malam raya) sehingga 3 Syawal. Bertakbir ketika selepas Solat, dalam perjalanan ke Masjid, ke rumah kawan (yang ada open house), dan di dalam rumah bagi wanita yang sedang memasak, menggosok baju, mengemas rumah.

2. Lafaz Ucapan pada hari raya " Taqabbalallahu Minna Waminkum" atau Semoga Allah menerima amalan kita semua. Selain bermaaf-maafan, kita digalakkan untuk mengucapkan ucapan ini kepada umat Islam.

3. Mandi di pagi Hari Raya - Galakkan anak-anak mandi pada pagi hari raya. Mandi niat sunat hari raya. Walaupun cuaaca sudah semakin sejuk, tapi saya rasa kita tiada masalah untuk mandi.

4. Menunaikan Solat Aidilfitri - Rasulullah menyuruh semua umat Islam berkumpul menunaikan Solat Aidilfitri, lelaki perempuan, anak-anak, termasuk wanita yang didatangi Haidh. Meraikan hari kegembiraan bersama, mendengar khutbah hari raya.

5. Berjalan kaki ke Masjid untuk menunaikan Solat Aidilfitri - Bagi yang dekat.

6. Meneruskan Qiyamullail, bacaan Al-Quran yang konsisten setiap hari, dan bersedekah

7. Berpuasa 6 di bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim

8. Memakai pakaian yang indah -

- Bagi perempuan hendaklah menjaga batas Aurat, dan pemakaian, jangan sehingga pakaian kita seperti wanita bertelanjang (sepertimana yang disebutkan di dalam hadith bagi yang memakai ketat, transparent, dan menyerupai lelaki).

- Pemakaian perfum yang sekadar untuk menghilangkan bau badan

Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” Hadis riwayat al-Nasaai

- Serta alat solek yang berlebihan sehingga merubah asal kejadian muka wanita tersebut. Ulamak sepakat mengatakan pemakaian Alat Solek haram dipakai dihadapan orang lain selain suami, keluarga, sahabat wanita. Wanita semulajadi memang sudah cantik sebenarnya. Natural Beauty.

Sebagai tambahan, bercakap soal pemakaian, memakai alat make-up di muka wanita. Saya pasti kita semua tahu dan faham hukum yang ditentukan. Kita sendiri mengiyakan perkara tersebut. Namun, kita banyak berpejam mata sehingga banyak alasan ditimbulkan untuk menyedapkan dan menyenangkan hati. Tapi hakikatnya kita telah melanggar tuntutan/larangan.


Masih belum terlambat untuk melakukan perubahan, kerana Allah sentiasa memberi pilihan kepada kita untuk memilih dan kita berhak untuk memilih cara hidup kita. Tapi di SANA nanti kita sudah tidak punya peluang untuk berubah dan memilih.



Selamat Hari Raya Aidilfitri
Taqabbalallahu Minna Waminkum
Mohon Maaf kepada rakan taulan semua di atas segala kesalahan, kesilapan yang saya lakukan samada sengaja atau tidak sengaja. Minta halal semuanya..


Ummu Ammaar
28 Ramadhan 1430

Thursday, 10 September 2009

Mencari Lailatul Qadar - Bukan Mustahil Bagi Kamu

Assalamualaikum Warahmatullah


Ramadhan semakin hari semakin hingga ke penghujung, sedar tidak sedar hari ini sudah hari ke-20. Hanya tinggal beberapa hari lagi, Ramadhan akan meninggalkan kita semua.

Kita maklumi, dan yakini bahawa 10 terakhir Ramadhan adalah 10 malam terbaik di antara sekalian malam, kerana di sananya ada Malam Lailatul Qadar.


Sebagaimana kata Abu Hurairah, malaikat akan turun pada malam lailatul qadar dengan jumlah yang tidak terhingga. Malaikat akan turun membawa kebaikan dan keberkatan sehingga terbitnya waktu fajar


Kita berhak untuk mencari Lailatul Qadar, berhak untuk merasai. Walaupun kita tahu hanya hambaNYA yang terpilih sahaja akan dapat merasai nikmatnya malam tersebut.

Namun, kita janganlah merasa tidak layak untuk mencari Lailatul Qadar, jangan rasa mustahil kita akan dapat, kerana melihat kualiti amalan kita sepanjang Ramadhan kali ini. Masa dan peluang masih ada.. Masih terbuka untuk kita untuk berusaha untuk menjadi hamba yang terpilih.

Beberapa Tips ingin dikongsikan:-

1) Iktikaf di masjid, tidur di dalam Masjid, boleh pilih Masjid yang mana boleh menerima orang iktikaf di Masjid, kebanyakkan masjid di sini 'hidup' di 10 malam terakhir Ramadhan.

2) Mengajak keluarga beriktikaf bersama setakat termampu, bawa anak lelaki bersama. Ajak bersama kawan-kawan untuk melakukan Ibadah berjemaah.

3) Bagi wanita Haidh, jangan merasa kecewa, dan berputus asa, kerana wanita dizaman Nabi pun didatangi Haidh, tapi mereka juga berusaha bersungguh-sungguh di 10 malam terakhir ini. Boleh berzikir, membaca Tafsir Al-Quran, berdoa bersungguh-sungguh.

4) Selesaikan tugas harian diwaktu siang, agar waktu malam tidak terganggu dengan urusan harian.


Inilah masanya kita berkorban tenaga, masa, tidur untuk mencari redha Ilahi. Kita banyak berkorban untuk melakukan tugas dan amanah harian kita. Perkara yang sama juga malah lebih utama yang kita berkorban untuk menunjukkan tanda keabdian kita kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.


Ummu Ammar
20 Ramadhan 1430

Tuesday, 8 September 2009

Berpindah, Berhijrah, Berserah

Sepanjang minggu ini, kami akan sibuk mengemas rumah, membungkus barang, menyusun dan mengemas kini barang-barang untuk dimasukkan di dalam kotak.

Kami akan berpindah..

Ya, setelah berfikir, berdoa, minta Allah berikan petunjuk di atas perpindahan ini, semoga ini yan terbaik. Ramai yang nasihatkan untuk tidak berpindah ke rumah tersebut, berdasarkan sejarah yang sahih. Pada mulanya kami agak ragu-ragu untuk berpindah ke situ, namun, apabila berbicang dengan recent tenant, dan tiada masalah sepanjang mereka tinggal di sana. Kami rasa mungkin tidak lagi. Manusia berubah, berubah mengikut masa, berubah meninggalkan sejarah, dan yang lebih baik adalah berubah menjadi lebih baik dan lebih baik.

Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung.Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah s.w.t. (Hadith)
Kami mula packing barang, bermula dengan baju-baju, hadiah-hadiah, dan buku-buku. Mujurlah barang kami tidak banyak, tidaklah mengambil masa yang banyak. Risau kesibukan ini menjadikan kami leka, dan sibuk sehingga terlepas peluang mencipta dan mencapai taqwa di bulan pembinaan Taqwa ini.

Barang dapur adalah perkara terahkir untuk diselesaikan, memandangkan minggu ini kami akan menerima beberapa orang tetamu.

Moga penghijrahan ini selaras dengan petunjukMu Ya Allah, kami tidak tahu hala tuju kami yang sebenarnya melainkan Engkau tunjukkan kepada kami.

Takutnya saya rasa, Ramadhan pergi tanpa rasa apa-apa. Tanpa rasa insaf dan taubat yang untuk berubah menjadi lebih baik.

Tapi percayalah, kita perlu bersangka baik dengan Allah, kerana Allah adalah menurut sangkaan hambaNya. Ya Rabb, tunjukkan kami ke jalan yang Engkau redhai, bukan jalan yang Engkau murkai dan bukan jalan-jalan yang sesat. Ameen..


عن أبي هريرة - رضي الله عنه - قال : قال النبي - صلى الله عليه وسلم - : يقول الله تعالى : ( أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني ، فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي ، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم ، وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه ذراعا ، وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه باعا ، وإن أتاني يمشي أتيته هرولة ) .رواه البخاري و مسلم



Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya:
Allah Azza wa jalla berfirman-dalam Hadis Qudsi: "Aku adalah menurut sangkaan hambaKu dan Aku akan selalu besertanya selama ia mengingat padaKU. Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hambaNya daripada seseorang di antara kamu semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas. Barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sehasta dan barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak
sehasta, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan bergegas-gegas."
(Muttafaq 'alaih)

Ummu Ammar
Ramadhan 1430

Keluhan Hamba Terleka

Ya Allah, kami tahu kami selalu leka dan terlupa. Kadang-kadang rasa berat untuk menambah amal ibadah. Kami ingin menjadi hamba yang bertaqwa, tapi kami kurang berusaha untuk mencapainya. Bantulah kami Ya Allah..

Ya Allah, kami mengadu kepadaMu setiap saat dan ketika, setiap masa kami perlukanMu, perlukan petunjukMu, perlukan hidayahMu.. Janganlah Engkau lari dari kami Ya Allah..

Ya Allah, khusus di bulanMu yang mulia ini, kami sekali lagi ingin mohon keampunan dariMu, dosa kami yang lalu dan akan datang, yang sengaja dan tidak sengaja, yang tersembunyi dan tidak. Hinalah kami tanpa keampunan dariMu, rugilah kami tanpa keberkatan dariMu, musnahlah hidup kami tanpa hidayahMu Ya Allah..
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُوْ عَنِّيْ



Ummu Ammar
18 Ramadhan 1430

Friday, 4 September 2009

Doa Syaitan Dimakbulkan?


Minggu lalu, saya dan suami menghadiri satu seminar anjuran IIDR di Muslim Youth Foundation (MYF) di bandar Manchester. Saya tidak dapat hadiri hari pertama seminar tersebut berikutan berjanji akan adakan Tadarus Al-Quran bersama rakan-rakan di sini. Namun, sedihnya, Tadarus tersebut terpaksa dibatalkan kerana ramai yang tidak dapat hadir. Kecewanya rasa, kerana saya tertinggal seminar penting hari ini.

Saya gantikan aktiviti saya hari itu dengan membantu seorang kakak yang berpindah rumah. Membungkus barang, mengemas barang dan menyusun barang untuk diletakkan di dalam kotak.

Saya dan suami merancang untuk berbuka puasa di MYF, setiap Sabtu, di sana ada jamuan berbuka puasa besar-besar. Selain diadakan kuliah ilmu setiap minggu sepanjang Ramadhan, ada juga aktiviti untuk anak-anak muda beriktikaf di situ.

Malam itu, suami menerangkan tentang pengisian seminar yang dihadirinya. Panjang lebar suami menerangkan. Pada mulanya, saya rasa agak kesal kerana tidak menghadiri, tapi apabila suami menerangkan pengajiannya hari itu panjang lebar, saya rasa tidak.. Thanks abang..

Apa yang menarik perhatian saya adalah Doa dan permintaan Syaitan dari Allah, ketika mana Syaitan menyesatkan Nabi Adam dan Hawwa, Allah ingin campakkan Syaitan ke dalam Neraka. Namun syaitan meminta tangguh sehingga hari kiamat. Agar mereka dapat mengangkut bersama manusia-manusia yang sesat mengikut telunjuk mereka.

Kisah ini disebut di dalam Surah Al-A'raf ayat 11-18.

Daripada kisah ini, kita dapat faham bahawa Allah Maha Mendengar, Maha Menerima Doa dari hambaNya. Sedangkan Syaitan pun Allah menerima permintaan mereka, inikan pula kita yang cuba untuk menunjukkan ketaatan kepada Allah Taala.





Ummu Ammar
13 Ramadhan 1430