"Masa akak muda-muda dulu, akak banyak buat dosa, akak pernah lakukan ... pernah buat ... dan macam-macam lagi, Alhamdulillah, sekarang ni akak dah boleh berubah. Petunjuk dari Allah" mengadu seorang kakak kepada saya.
Saya rasa amat bersyukur dan gembira apabila mendengar perubahan yang ada pada dirinya. Pilihan dari Allah untuk hambanya. Kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan nikmat Islam, Iman dan Ihsan yang ada pada diri kita. Ia merupakan nikmat yang terbesar dari Allah.
Pilihan Allah ini hendaklah dibalas dengan kesyukuran hati, dan amalan. Bukan hanya sekadar ucapan di mulut.
Allah Dah Tutup Aib Diri Kita
Namun, bercerita tentang kisah diri di masa lampau, ada batasannya. Tidak perlu mengungkap segalanya walaupun kita menginsafinya dan sekadar ingin berkongsi.
Kenapa kita tidak boleh buka aib kita?
Kerana Allah pun tidak membuka aib kita, kenapa kita nak membukanya?
Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim)
Ramai di antara kita tidak mengetahui tentang larangan mendedahkan keaiban diri sendiri. Yang selalu dengar adalah larangan membuka aib orang lain.
Insafi dengan Keazaman
Kesalahan yang kita telah lakukan adalah masa lampau, dan jangan ianya menghantui diri kita. Kita punya Allah yang Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang. Bertaubatlah daripada kesilapan yang lalu. Dan, buang jauh-jauh dari kehidupan sekarang.
Saya faham, kadang-kadang kita terasa ingin bercerita, sekadar ingin menyatakan kekesalan yang dilakukan, dan berharap agar ianya menjadi pengajaran kepada sesiapa yang mendengar.
Namun, tidak mendedahkan adalah yang terbaik. Itu yang diajar di dalam Agama.
Tentu ada hikmah kenapa Agama melarangnya, tentu ada sebab kenapa Rasululllah Sallahu Alaihi Wasallam melarang para sahabatnya bercerita tentang kisau lampau mereka selepas mereka memeluk Agama Islam.
Pernah terjadi apabila keaiban diri sendiri didedahkan kepada orang. Ia menimbulkan perasaan kurang senang kepada pendengar, dan perkara itu menjadi perbualan ramai sehingga membawa fitnah.
Tutuplah kisah tragis kehidupan lalu, bukalah lembaran baru dengan kehidupan diwarnai dengan cahaya keinsafan, keazaman, dan kemerdekaan untuk menjadi hamba yang disayangi makhluk di langit dan di bumi.
Ummu Ammar
0 comments:
Post a Comment