Friday, 14 November 2008

Ingat 5 sebelum 5


Hari ini terasa ingin menulis semula, sebelum ini saya tiada idea untuk menulis. Bukan tiada yang ingin dikongsi, namun saya tak tahu bagaimana nak mulakan. Perkara yang sama berlaku ketika saya mula menulis blog dulu. Semoga saya istiqomah menulis, selain perkongsian pengetahuan dan pengalaman, saya harap tulisan saya ini boleh membantu menambahkan saham dan kurangkan timbangan kiri saya di akhirat nanti.

Sejam sebelum kedatangan anak-anak ke rumah untuk mempelajari Al-Quran, saya terasa ingin membaca buku untuk mengisi kekosongan jiwa, entah kenapa rasa diri ini. Saya membelek rak buku kami yang sudah penuh, kena cari rak lagi untuk meletakkan buku-buku tidak tersusun. Buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menarik perhatian saya, berjudul "Tazkiyah Jiwa dan Nafsu".

Bab pertama saya belek bertajuk "Memenuhi masa muda untuk kebahagiaan hari tua", terkesima saya membacanya, satu persatu bab saya buka, sungguh mengingatkan saya. 25 tahun saya hidup di dunia, apa yang saya telah buat dengan hidup saya, apakah sumbangan saya kepada masyarakat. Kalau nyawa saya di tarik pada saat ini, tentu tiada apa yang saya nak tunjukkan pada Allah Taala. Hanyalah amalan yang sangat sedikit, itupun mungkin akan terhapus dengan dosa-dosa kecil yang saya lakukan tanpa sedari ataupun tidak.

Sepanjang mengajar anak-anak tadi, fikiran saya menerawang mengingatkan bibit-bibit ayat Tuan Guru yang sungguh bermakna:-

" Masa muda jangan dibiar berlalu tanpa erti, kerana masa muda itu penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Pergerakan jasmani yang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal, dan mental remaja yang segar memberikan ruang yang cukup untuk mencapai berbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman"

" Masa tua segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat tenaga sudah lemah, selera makan sudah menurun meskipun disajikan makanan yang serba lazat. Sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan penyakit semakin lemah, keterbatasan telah melingkungi dirinya"

Kadang-kadang kita leka bahawa anugerah masa, muda yang Allah limpahkan ini menuntut kepada pengorbanan dan kesungguhan untuk manfaatkannya. Kelak nanti akan ditanya ke manakah masa kita dihabiskan.

Jangan nanti anggota badan kita malu dan takut untuk manjawab pertanyaan Allah ...


Ummu Ammar

0 comments:

Post a Comment